Nilai perniagaan Malaysia di Vietnam lebih RM58.5 bilion - PM - Utusan Malaysia

Nilai perniagaan Malaysia di Vietnam lebih RM58.5 bilion – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di Vietnam kini mencecah RM58.5 bilion (AS$13.1 bilion) merangkumi pelbagai sektor strategik seperti tenaga, pembinaan dan perkhidmatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih 700 projek telah dilaksanakan oleh syarikat Malaysia di Vietnam, hasil sokongan kukuh yang diberikan oleh pihak berkuasa Vietnam terhadap usaha perniagaan antara kedua-dua negara.

“Vietnam sangat menyokong usaha perniagaan kita. Ini menunjukkan sokongan positif dan berterusan daripada pihak berkuasa Vietnam, termasuk peranan mereka sebagai pengerusi ASEAN,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan To Lam, yang memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia hari ini untuk memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Kedua-dua negara juga dijangka menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) penting iaitu MoU pertama akan memacu promosi perdagangan antara Matrade dan Vietrade manakala MoU kedua melibatkan kerjasama tenaga boleh diperbaharui antara Petronas dan Petrovietnam.

Selain itu, mereka juga menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PetroVietnam dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Ini merupakan lawatan pertama To Lam ke Malaysia sejak beliau dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos tahun ini.

Perbincangan ini akan memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, teknologi digital, industri halal serta tenaga boleh diperbaharui.

Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada 1994 dan lawatan kali ini diharap akan membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkukuh hubungan dua hala serta menyumbang kepada pembangunan serantau di bawah kerangka ASEAN.

Pencapaian ini membuktikan potensi besar dalam kerjasama ekonomi Malaysia-Vietnam yang mampu terus berkembang dan memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya