KUALA TERENGGANU: Usia bukan halangan untuk seorang nenek berusia 67 tahun mendaki Bukit Maras sebagai aktiviti riadah pertamanya mengisi masa lapang.
Fatimah Mohd. dari Kampung Kebor Besar di sini, berkata, dia tidak menyangka dapat menawan bukit setinggi 329 meter dari aras laut itu dengan sokongan daripada anak dan cucunya, baru-baru ini.
Ibu kepada tujuh anak dan mempunyai 20 cucu ini berkata, idea untuk mendaki bukit itu timbul selepas dia sering mengadu sakit lutut dan sengal-sengal tubuh kepada anaknya.
“Anak-anak saya kemudian menyarankan kena buat lebih banyak aktiviti fizikal seperti mendaki supaya badan lebih sihat.
“Saya bersama tiga anak serta enam cucu mula memanjat Bukit Maras pada pukul 6.30 pagi dan tiba di puncak kira-kira 30 minit kemudian.
“Tak sangka pula, saya boleh mendaki tanpa sebarang masalah menyebabkan ramai pendaki lain terkejut ada warga emas berjaya ke puncak dan ada yang ambil gambar hingga tular di media sosial baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Fatimah memberitahu, dia hanya memakai selipar dan menggunakan sebatang kayu yang dijadikan tongkat sepanjang mendaki ke puncak Bukit Maras tersebut.
Ditanya rahsianya yang masih sihat tanpa sebarang penyakit kronik, Fatimah berkata, dia hanya makan menu tradisional sejak muda tanpa terpengaruh dengan makanan zaman moden.
“Selain itu, saya juga aktif bercucuk tanam dan memelihara beberapa ekor lembu dan kambing di sekitar rumah.
“Hasrat saya selepas ini mahu mendaki lebih banyak bukit di Terengganu untuk menikmati pemandangan semulajadi ciptaan Allah SWT namun bergantung kepada masa lapang anak dan cucu untuk membawa saya ke lokasi,” katanya.