PUTRAJAYA: Bilangan nelayan laut di seluruh Malaysia didapati semakin kurang sepanjang tahun lalu dengan tujuh negeri mencatatkan kemerosotan jumlah nelayan.
Tidak ketinggalan ialah Wilayah Persekutuan Labuan yang turut mencatatkan penurunan nelayan seramai 76 orang apabila nelayan di pulau berkenaan tahun lepas cuma tinggal 400 orang.
Menurut Laporan Perikanan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), secara keseluruhannya agensi tersebut merekodkan sejumlah 112,344 orang nelayan laut tahun lalu berbanding 116,613 orang pada 2022.
“Hanya enam negeri menunjukkan pertambahan dengan Sabah paling ketara iaitu 31,300 orang sepanjang 2023 apabila melonjak 407 orang ketimbang 2022,” jelasnya.
Ia diikuti Pahang dengan 7,815 orang, naik 206; Johor (10,228, tambah 193); Melaka (997, tambah 61); Pulau Pinang (5,312, tambah 40); dan Negeri Sembilan (480, tambah 13).
Menurut laporan itu, Kelantan didapati mencatatkan kemerosotan terbesar bilangan nelayan tahun lepas dengan tinggal cuma 3,403 orang, iaitu defisit 1,800 orang berbanding 2022. Ia disusuli Perak 18,217 orang (merosot 1,407); Selangor (6,620, kurang 1,050); Perlis (1,413, kurang 421); Terengganu (8,311, kurang 215); dan Sarawak (10,239, kurang 158).
Kedah menurut laporan itu, menunjukkan kejatuhan angka nelayan yang sedikit sepanjang tahun lepas apabila hanya berbaki 7,609 orang iaitu kurang 62 orang.
Berdasarkan perangkaan pada 2023 itu, bilangan nelayan laut pantai iaitu jarak kurang 30 batu nautika merekodkan seramai 102,746 orang atau 91.5 peratus daripada keseluruhan.
“Baki berikutnya iaitu 9,598 nelayan pula didaftarkan bertugas untuk bot laut dalam yang meliputi lebih 30 batu nautika sehinggalah perairan antarabangsa,” jelasnya.
Angka berkenaan jelasnya, turut menunjukkan kemerosotan ketimbang 2022 yang telah mencatatkan seramai 104,297 nelayan laut pantai manakala 12,316 nelayan laut dalam.
Sementara itu, nelayan perikanan darat yang menangkap ikan tanpa penggunaan vesel berjumlah 11,437 orang pada 2023, melonjak 288 orang daripada tahun sebelumnya.
Begitu juga jumlah penternak industri akuakultur di seluruh negara pula seramai 20,963 orang sepanjang tahun lalu menokok berbanding 20,925 orang pada 2022.
Jika dilihat penternak dari segi pecahan sektor tahun lepas, ia membabitkan 16,062 orang untuk air tawar diikuti 3,610 orang untuk air payau dan 1,291 orang untuk rawai rumpai.
Data itu menunjukkan peningkatan penternak dibandingkan 2022 iaitu 15,948 untuk air tawar dan 3,423 orang untuk air payau kecuali sektor rawai rumpai dengan 1,554 orang.
Penternak ikan hiasan bukan makanan turut mencatatkan kejatuhan daripada seramai 926 orang sepanjang 2022 kepada hanya 835 orang tahun lepas.