SEREMBAN: Negeri Sembilan terbuka untuk mana-mana syarikat menyatakan minat dalam pengurusan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini supaya tidak membentuk monopoli dalam industri perlombongan mineral tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri bagaimanapun sudah tentu akan memilih syarikat yang terbaik serta berkemampuan untuk tujuan berkenaan.
“Kita tiada masalah, siapa mahu datang berjumpa akan diraikan. Kalau mahu buat di tanah sendiri juga kita raikan, tiada masalah.
“Cuma di tanah kerajaan kita kena pilihlah syarikat-syarikat yang berkemampuan. Tidaklah orang datang jumpa saya dan kata mahu buat 1,000 ekar dan saya pun beri (sahaja).
“Saya mahu tahu kemampuan, apa pengalamannya. Semua orang hari ini datang jumpa semua kata mampu buat, itu antara faktornya juga, kita lihat kemampuan dan kaji barulah kita runding,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan tidak mahu mewujudkan satu syarikat yang memonopoli dalam pengurusan REE di negara ini.
Aminuddin sementara itu berkata, kerajaan negeri turut memberi tempoh masa tertentu untuk urusan eksplorasi kawasan kepada pihak yang berminat dalam perlombongan REE di negeri ini.
“Itu sebab kita bagi tempoh satu ke enam bulan untuk dibuat penjelajahan (kawasan), kalau itu tidak mampu dibuat kita akan tolak.
“Kalau mahu buat 100 ekar tetapi mengambil masa sampai enam bulan tidak masuk akal,” katanya lagi.
Sementara itu, Aminuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri berkata, rakyat di negeri ini perlu berhati-hati dalam tujuan mencari ilmu agama.
Jelasna, umat Islam seharusnya kembali mempelajari asas-asas agama dari sumber sahih dan tenaga pengajar bertauliah.
“Berhati-hati mencari ilmu agama serta jangan mudah terpengaruh. Perkara ini (ajaran sesat) tidak seharusnya berulang, cukuplah,” katanya.
Semalam, seorang suri rumah dihukum penjara sebulan dan didenda RM1,500 di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran salah berkaitan Kumpulan Ajaran Cahaya.-UTUSAN.