Negeri Sembilan umum bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan umum bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam

AMINUDDIN Harun sebelum membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 yang bertemakan Bersama Membina Negeri Madani di DUN Negeri Sembilan, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkannya semasa membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2025 hari ini.

“Menghargai dan menginsafi pengorbanan dan kesungguhan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sukacita saya umumkan BKK sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam yang berada di Bawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Penghargaan ini akan dipanjangkan kepada semua penjawat awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan seramai 6,613 orang semuanya yang akan dibayar pada bulan Januari dan sebelum Aidilfitri pada bulan Mac tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pertama: Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 (Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Sementara itu, Belanjawan 2025 yang dibentangkan itu merupakan belanjawan berimbang membabitkan anggaran hasil dan anggaran belanja mengurus sebanyak RM590 juta.

Mengekalkan tema ‘Bersama Membina Negeri Madani’, anggaran hasil tahun hadapan menyaksikan peningkatan sebanyak RM70 juta atau 13.46 peratus berbanding RM520 juta pada tahun 2024.

Aminuddin berkata, hasil bukan cukai dijangka terus menjadi penyumbang utama hasil tahun hadapan iaitu dengan anggaran RM364.57 juta ataupun 61.79 peratus.

“Ia merupakan peningkatan berjumlah RM64.33 juta berbanding RM300.24 juta pada tahun 2024, peningkatan ini adalah seiring dengan pembangunan pesat sektor hartanah dan perindustrian di kawasan koridor pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0,” katanya.

Jelasnya, hasil cukai pula adalah sebanyak RM159.35 juta diikuti terimaan bukan hasil sebanyak RM59.75 juta.

Tambah beliau, perbelanjaan mengurus yang diperuntukkan tahun hadapan pula adalah termasuk RM135 juta bagi anggaran belanja pembangunan.

Ia merupakan peningkatan sebanyak RM35 juta berbanding anggaran belanja mengurus pada tahun sebelumnya.

“Perbelanjaan tertinggi disediakan bagi maksud emolumen sebanyak RM238.49 juta ataupun 40.42 peratus. Seterusnya pemberiaan dan kenaan bayaran tetap RM214.26 juta ataupun 36.32 peratus selain perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM129.74 juta, perolehan aset sebanyak RM2.45 juta dan lain-lain perbelanjaan sebanyak RM5.06 juta,” jelas Aminuddin.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, menerusi belanjawan kali ini, sebanyak 23 inisiatif baharu diperkenalkan dan 43 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik yang menjadikan jumlah inisiatif Belanjawan 2025 adalah sebanyak 66 inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM96.23 juta.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya