SEREMBAN: Negeri Sembilan kini memperoleh hak cipta bagi motif bunga lada yang sekali gus membolehkan rekaan itu dapat diguna dan dikomersialkan termasuk menerusi penciptaan pelbagai produk.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata,hak cipta eksklusif berkenaan telah diperoleh kerajaan Negeri Sembila dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan dari pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) baru-baru ini.
“Ini berita baik apabila bunga lada ini berjaya didaftarkan sebagai kepunyaan Negeri Sembilan. Ia merupakan bunga rasmi negeri dan begitu juga dekat dengan rakyat negeri ini apabila ia sinonim dengan masakan tradisional iaitu gulai kuning yang salah satu ramuannya adalah menggunakan cili api.
“Pelbagai perancangan telah dibuat untuk mengkomersial dan mempopularkan lagi produk dengan rekaan bermotifkan bunga lada ini malah sudah ada yang telah dimulakan juga seperti sebuah hotel di Port Dickson yang telah menjadikan bunga lada ini sebagai motif rekaan uniform pekerja-pekerja mereka.
“Pejabat Setiausaha kerajaan negeri juga akan menjadikan motif rekaan yang sama untuk digunakan sebagai baju korporat mereka selain kerajaan negeri juga akan menggalakkan pemakaian batik rekaan bunga lada pada setiap hari Khamis,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Nicole Tan, sebagai usaha untuk membudayakan penggunaan rekaan bunga lada yang juga salah satu daripada sembilan identiti Negeri Sembilan ini, pelbagai produk lain juga telah dihasilkan termasuk seperti songket, kerongsang, butang baju Melayu dan juga produk-produk kraftangan.
“Sudah tentu rekaan ini sesuai digunakan semasa hari perayaan, majlis keraian dan adat istiadat sekali gus dapat mengangkat imej Negeri Sembilan,” kata beliau lagi.
Sementara itu, menurutnya, beberapa identiti Negeri Sembilan yang lain seperti muzik caklempong dan masakan gulai kuning juga dalam usaha untuk didaftarkan di MyIPO sebagai kepunyaan negeri ini kelak.-UTUSAN.