Na'imah dapat kembali pasport secara kekal

Na’imah dapat kembali pasport secara kekal

Na’imah Abdul Khalid bersama peguam, Dr. Gurdial Singh Nijar pada prosiding pendengaran rayuan berhubung permohonan mendapatkan pasport secara kekal di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hari ini berjaya mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Ia selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membenarkan permohonan agar pasport tersebut ditahan.

“Kami berpendapat bahawa tiada sebarang bukti untuk menyokong atau penjelasan diberikan bagi menjustifikasikan kenapa syarat tambahan ini diperlukan atau atas keadaan apakah yang membolehkan syarat ini dibenarkan.

“Alasan pendakwaan bahawa ia merupakan satu amalan biasa dalam kes-kes lain tidak boleh diterima kerana penghakiman Mahkamah Agung (dalam kes lain) sebelum ini telah menyatakan bahawa sebarang syarat tambahan hendaklah adil, mempunyai asas dan berkait dengan kehadiran ke mahkamah.

“Kami sebulat suara berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila memerintahkan agar pasport perayu ditahan sedangkan tiada sebarang alasan atau asas untuk berbuat demikian,” kata Hakim Azizah ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit.

Na’imah dilihat menangis dan memeluk anaknya selepas mendengar keputusan mahkamah.

“Saya merasa amat sedih kerana Tun Daim tiada di sini bersama saya untuk mendengar keputusan ini,” katanya ketika ditemui media selepas tamat prosiding.

Pada prosiding hari ini, Na’imah diwakili peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak bantahan awal pihak pendakwaan berhubung rayuan Na’imah kerana beliau mempunyai hak statutori untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Na’imah memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 22 Mac lalu yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan hakim Mahkamah Sesyen yang mengarahkan supaya pasport Na’imah diserahkan kepada mahkamah adalah sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku.

Hakim terbabit juga menyatakan keputusan Mahkamah Sesyen menahan pasport berkenaan tidak melanggar hak Na’imah di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana hak wanita itu sebagai warganegara berubah selepas beliau didakwa di mahkamah.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya