KOTA BHARU: Jenazah tiga beranak yang maut kemalangan semasa dalam perjalanan pulang dari majlis konvokesyen di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Sungai Lerek, Setiu, Terengganu pagi tadi selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad, sebentar tadi.
Ketiga-tiga jenazah itu Kamarudin Ibrahim, 55, (bapa) Maimunah Mat Isa, 54, (ibu) dan Nur Ardieana, 30, (anak) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maras, Langgar, kira-kira pukul 9 malam.
Terdahulu, solat jenazah ketiga-tiga beranak itu dilakukan di Masjid Telipot selepas solat Isyak.
Sementara itu, Ibu kepada Maimunah, Siti Aminah Mat Jusoh, 72, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu pada pukul 6,30 pagi semasa membaca al-Quran di Masjid Jelor, Pasir Puteh, dekat sini.
Katanya, dia kemudian didatangi anaknya, Mohd. Fazli Mat Isa, 38, yang memaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan berhubung perkara tersebut.
“Saya terus pulang ke rumah dan kemudian terus ke Hospital Setiu, Terengganu, untuk melihat keadaan anak sulung saya,” ujarnya.
Utusan Online sebelum itu melaporkan, tiga beranak yang perjalanan pulang dari majlis konvokesyen maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Sungai Lerek di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu meragut nyawa Kamarudin Ibrahim, 55, isterinya, Maimunah Mat Isa, 54, dan anak kedua mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30, akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi, 21, yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pula cedera parah pada bahagian kaki dan tangan.
Difahamkan sebelum kejadian, mereka menghadiri majlis konvokesyen Nur Azwa Shamimi yang berlangsung di Putrajaya pada semalam.-UTUSAN