SEREMBAN: Sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengeluarkan notis penutupan sementara di kesemua Taman Eko Rimba, jalur pendakian hutan dan kawasan ekopelancongan di dalam hutan simpan kekal di negeri ini.
Penutupan berkenaan akan bermula 6 Disember ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Penutupan sementara ini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh dan risiko kepala air,” menurut notis tersebut.
Dalam pada itu, pengunjung juga dimohon untuk tidak membuat sebarang bayaran secara dalam talian bagi permit memasuki hutan simpanan kekal bagi kawasan berkaitan dalam tempoh tarikh penutupan yang dinyatakan.
Taman eko rimba yang terdapat di Negeri Sembilan termasuklah di Ulu Bendul, Pasir Panjang, Batu Maloi dan Jeram Tengkek manakala antara trek pendakian yang popular adalah Gunung Angsi dan Gunung Datuk.-UTUSAN.