KUALA LUMPUR: Sistem kalkulator perbelanjaan asas kehidupan wajar (MyPAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) yang diperkenalkan Jabatan Perangkawan Malaysia (DOSM) boleh digunakan dalam program bantuan bersasar kerajaan seperti penyasaran subsidi RON95 dan bantuan lain.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengumpulan data terbabit merupakan sesuatu yang signifkan selepas 75 tahun sumbangan pasukan DOSM kepada negara melangkah ke hadapan.
Menurut beliau, data lengkap mengenai perbelanjaan asas yang sesuai mengikut daerah akan membolehkan kerajaan melaksanakan subsidi dengan lebih bersasar.
“Sebagai contoh, jika sebelum ini subsidi dilaksanakan secara pukal, ia dinikmati sama rata antara setiap individu walaupun ada antaranya tidak layak mendapat subsidi.
“Dengan adanya data seperti ini, pelaksanaan subsidi lebih bersasar dan membolehkan kerajaan mengatur kewangan dengan lebih baik dan mengalirkan kewangan kearah pembangunan lain dengan lebih cekap,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi ‘townhall’ PAKW dan Keluaran Dalam Negeri Kasar mengikut daerah di sini semalam.
Kata Mohd. Uzir, DOSM turut memperkenalkan kalkulator PAKW yang membolehkan orang ramai untuk menyemak perbelanjaan asas di setiap kawasan kerja dan kediaman.
Beliau berkata, ia juga membolehkan majikan untuk menyemak kesesuaian gaji dan potensi untuk pengukuhan operasi mereka.
“Majikan akan melihat potensi untuk membuka kilang atau pejabat di kawasan yang sesuai. Gaji pula bersifat nasional, bukan secara lokaliti,” katanya.
Ditanya mengenai kebimbangan majikan akan menggunakan data tersebut untuk tidak menaikkan gaji dengan sewajarnya, beliau berkata, data-data terkumpul tersebut tidak tersedia untuk digunakan ke arah negatif.
“MyPAKW merupakan satu alat pengukur perbelanjaan asas kehidupan wajar isi rumah yang boleh menjadi rujukan individu, isi rumah dan pihak berkenaan.
“Penggunaan PAKW oleh pelbagai pihak dalam pelaksanaan inisiatif atau program adalah tertakluk kepada kesesuaian kerana MyPAKW dibangunkan bertujuan untuk membolehkan orang ramai mempunyai nilai rujukan perbelanjaan asas kehidupan wajar di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, mengikut data-data yang dikumpul, bantuan serta program-program bersasar boleh diagihkan tanpa menggunakan langkah ‘one size fit all’ kerana keperluan setiap individu adalah berbeza.
“Berpandukan data ini, kita boleh tahu keperluan bagi setiap individu. Jadi, kalau terus-menerus menggunakan satu angka sahaja bermakna kita tidak ada kebijaksanaan dan sukar untuk memastikan penggunaan sumber diuruskan dengan cekap.
“Data yang dikeluarkan ini dapat dijadikan rujukan kepada program-program bersasar oleh pihak kerjaan mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) ataupun syarikat yang mahu melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya manfaat program itu dapat dibawa ke tempat-tempat yang benar-benar memerlukan.
“Selain itu, Pusat Zakat juga boleh menggunakan data tersebut untuk mengenal pasti keperluan asnaf-asnaf di sesuatu kawasan itu,” katanya. – UTUSAN