KUALA KRAI: Tindakan pantas seorang murid tahun tiga memberitahu ibunya sejurus melihat seekor ular tedung selar sepanjang 4.26 meter berjaya menyelamatkan keluarganya daripada bahaya reptilia berbisa itu semalam.
Kejadian pukul 5.30 petang itu disedari kanak-kanak berkenaan apabila melihat ular tedung selar tersebut masuk ke kawasan garaj kereta di rumahnya di Kampung Ngangoh di sini.
Bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Muaz Bosri, 43, berkata, dia menyedari kehadiran ular tersebut selepas menerima panggilan daripada isteri yang berada di rumah.
Katanya, dia yang berada di kedai kopi berhampiran dengan rumah terus bergegas pulang dan terkejut mendapati reptilia itu berada di kawasan garaj kereta.
“Saya terus menghubungi Pasukan Bomba Sukarelawan Guchil untuk meminta bantuan bagi menangkap ular tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Sementara itu Pegawai Bomba Sukarelawan Guchil Mohd. Hamdan Mahadi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.05 petang dan tiba ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, sejurus tiba dia bersama seorang lagi anggota terus menjalankan operasi menangkap ular tersebut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.35 petang,” ujarnya.-UTUSAN