PUTRAJAYA: Rangkaian kedai buku gergasi, MPH Bookstores melancarkan cawangan ke-10 di pusat beli-belah Alamanda, di sini semalam.
Cawangan itu bukan baharu, sebaliknya pernah beroperasi di lokasi sama sebelum ini sehingga pandemik Covid-19.
Ia kini dibuka kembali selepas dua tahun ditutup dengan wajah baharu serta reka bentuk kedai yang lebih segar seperti yang ditonjolkan di kedai utama MPH di The Exchange TRX, Kuala Lumpur. MPH Bookstores dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ketua Pegawai Eksekutif MPH Bookstores, Martin Cross berkata, cawangan ini berkeluasan 5,000 kaki persegi dan memperlihatkan reka bentuk kontemporari yang menggunakan elemen kayu cerah dan perincian gangsa.
“Dengan reka bentuk yang menarik serta koleksi buku dan barangan yang disusun dengan baik, kedai ini direka khusus menjadi ruang yang dihargai oleh pembaca, keluarga dan pengunjung,” katanya.
Menurut beliau, terdapat pelbagai pilihan fiksyen dan bukan fiksyen dalam bahasa Inggeris dan Melayu, serta koleksi buku ulang kaji sekolah yang lebih meluas.
Martin berkata, pembukaan semula cawangan ini menandakan langkah seterusnya dalam pembaharuan dan kebangkitan semula MPH Bookstores di negara ini
“Pembaharuan ini telah dimulakan dengan pembukaan kedai utama kami di The Exchange TRX. Malah, kami berazam untuk terus menyokong sektor pendidikan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau memuji usaha MPH Bookstores kerana terus komited dalam mempromosikan literasi dan pendidikan.
“Memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda amat penting bagi membina masyarakat yang berilmu dan berpandangan jauh,” kata beliau. – UTUSAN