SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menggerakkan bantuan termasuk mengerahkan asetnya bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir khususnya di Pantai Timur yang paling teruk terjejas.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehubungan itu, pihak kementerian menubuhkan jawatankuasa petugas khas yang akan mengkoordinasi misi bantuan termasuk bersama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma).
“Kami boleh kerahkan aset Kementerian Pengangkutan termasuk daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut atau mana-mana agensi lain untuk apa sahaja peralatan yang diperlukan untuk membantu.
“Kabinet juga telah bincangkan perkara ini untuk mengerahkan jentera kerajaan bagi membantu mengatasi bencana banjir di Pantai Timur dan Kelantan sangat teruk kali ini, kami akan cuba buat apa yang patut untuk bantu.
“MOT ambil langkah proaktif supaya jentera dari kementerian dapat dikerahkan, koordinasi akan dibuat bersama Nadma untuk lihat keperluan kerana kalau pergi tanpa koordinasi banyak sumber akan dibazirkan jadi kami akan kerahkan bantuan mengikut apa yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Kementerian Pengangkutan di Kampung Orang Asli Ngoi-Ngoi di sini hari ini.
Anthony Loke dalam pada itu berkata, bencana kali ini juga telah menjejaskan beberapa mod pengangkutan khususnya landasan kereta api yang ditenggelami banjir.
“Landasan kereta api di Kelantan memang tidak boleh dilalui sekarang sebab banyak landasan yang dinaiki air, jadi terkesan daripada segi laluan Gemas ke Pantai Timur jadi banyak perjalanan dibatalkan. KTMB kami akan pantau sehingga keadaan selamat barulah dikembalikan perkhidmatan itu
“Lapangan terbang Alor Setar (Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim) juga terpaksa ditutup sebab landasan juga dibanjiri,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban memberitahu, inisiatif Kampung Angkat Madani Kementerian Pengangkutan di Kampung Orang Asli Ngoi-Ngoi dengan peruntukkan sebanyak RM2.5 juta telah bermula sejak bulan Mac lalu..
Jelasnya, ia menerusi pembangunan projek penurapan jalan, membaiki atap rumah penduduk, menaik taraf balai raya dan gelanggang sepak takraw serta membaiki cerun dan hakisan tanah dengan kesemuanya telahpun disiapkan.
“Walaupun peruntukan ini hanya memberi manfaat kepada 25 buah keluarga di kampung ini tetapi sebenarnya ia membawa manfaat lebih besar kepada daerah Seremban kerana kita melindungi kawasan tadahan air yang berada di Kampung Orang Asli Ngoi-Ngoi ini.
“Ia amat penting buat daerah Seremban kerana kita bergantung kepada empangan dan loji rawatan air yang berada di sini, itu sebabnya kami memilih kampung ini untuk menerima peruntukan menerusi program Kampung Angkat Madani ini,” ujarnya lagi.-UTUSAN.