MELAKA: Penganjuran Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) penting sebagai wadah memperkukuh kerjasama dan persefahaman antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerajaan negeri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, MEXCLUB mencakupi aspek perancangan, pelaksanaan dan pencapaian program termasuk projek-projek bagi menyantuni kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, melalui platform itu juga semua exco luar bandar dari seluruh negara berkumpul serta berkongsi idea bagi memperkasa pembangunan luar bandar yang bakal memberi impak kepada rakyat di negeri masing-masing.
“Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif demi kemaslahatan masyarakat desa sekali gus membina kelestarian pembangunan luar bandar.
“Antaranya adalah penubuhan Paramedik Komuniti (Parakom), membangunkan inisiatif kampung digital, pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), meningkatkan capaian jalur lebar di kawasan luar bandar termasuk di perkampungan orang asli serta memperkasakan program pertanian, penternakan dan perikanan.
“Selain itu, membangunkan Koridor Ekonomi Anjung Selatan yang akan memberi tempias limpahan kepada masyarakat luar bandar dan wakil rakyat untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam MEXCLUB yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, malam tadi.
Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri akan terus mendukung segala usaha dalam meningkatkan pembangunan luar bandar sehingga menjadi penyumbang utama kemakmuran negara pada masa depan.
Menurutnya, setiap pembentangan kertas kerja diharap dapat membawa keputusan terbaik untuk pembangunan luar bandar. – UTUSAN