Menteri jangan taksub dengan data, statistik

Menteri jangan taksub dengan data, statistik

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat beberapa menteri yang terlampau terikat dengan data dan statistik sehingga mengabaikan pendapat serta keperluan rakyat.

Mereka perlu lebih terbuka terhadap teguran rakyat dan tindakan segera perlu diketengahkan bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ada menteri tidak mahu mendengar pendapat rakyat kerana mereka terlampau taksub dengan data dan statistik.

“Contoh nyata adalah rasionalisasi subsidi diesel. Walaupun dari segi statistik ia baik, tetapi menteri sering gagal menyampaikan manfaatnya dengan jelas menyebabkan rakyat salah faham.

“Kegagalan membetulkan persepsi orang ramai bahawa kerajaan memansuhkan subsidi diesel menyebabkan menteri ini dianggap tidak memahami isi hati rakyat serta gagal menjalankan tugasnya,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, rakyat perlu berani menegur kekurangan dan kelemahan menteri dalam usaha membawa negara ini ke arah kesejahteraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan sebahagian pendekatan ke arah prestasi yang lebih baik dalam keseluruhan aspek terutama pembangunan dan kesejahteraan negara.

Pendapat sama disokong penganalisis politik dan pensyarah di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali yang berkata, kebiasaannya menteri-menteri jarang mengambil kira pandangan rakyat kerana mereka mempunyai suatu keputusan bersama.

“Sekiranya kerajaan membuka ruang kepada rakyat untuk menegur, sudah pasti mereka ambil perhatian atas teguran-teguran yang membina,” katanya.

Menurut beliau, jika menteri gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, mereka seharusnya digantikan dengan pemimpin yang lebih layak.

“Masih ramai yang layak diketengahkan untuk dijadikan sebagai pemimpin,terutama mereka yang menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tanggungjawab mereka.

“Jika ada menteri yang mengabaikan tugas, mereka haruslah digantikan dengan pemimpin yang lebih berkelayakan sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan tidak dapat dikawal lagi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, menteri juga perlu mendengar teguran daripada rakyat bagi membentuk pembangunan negara yang positif.

“Penting untuk menteri lebih terbuka dengan rakyat agar terus kompetensi membangunkan negara ke arah yang lebih maju.

“Mandat yang diberikan rakyat untuk terus menerajui negara adalah satu amanah besar yang mesti dilaksanakan dengan sempurna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya