SEREMBAN: Seorang suri rumah dihukum penjara sebulan dan didenda RM1,500 di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran salah berkaitan Kumpulan Ajaran Cahaya dengan menyatakan berpelukan berbeza jantina adalah dibolehkan, sejak September 2023.
Tertuduh, Noridayu Hashim, 42, turut berdepan hukuman denda RM1,000 atas pertuduhan bersubahat menyampaikan ajaran itu kepada sekumpulan orang iaitu pengikut kumpulan itu pada tempoh sama.
Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Noridayu yang mengaku telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya selepas pertuduhan dibacakan. Mahkamah menetapkan sekiranya tertuduh gagal membayar denda boleh dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, Noridayu didapati telah mengajar ajaran salah kepada dua orang pengikutnya yang berlawanan dengan hukum syarak dengan menganjurkan dan menyatakan bahawa berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram adalah dibolehkan kerana Kumpulan Ajaran Cahaya adalah malaikat dan tidak mempunyai nafsu.
Bagi pertuduhan kedua, Noridayu didapati telah bersubahat dengan Idris Ami menyampaikan ajaran salah kepada sekumpulan orang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah antara September 2023 hingga Disember 2023.
Pendakwaan terhadap kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh dalam satu perjumpaan kumpulan cahaya telah menyatakan untuk berbuat sesuatu perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu memeluk seorang lelaki berusia 65 tahun ketika hendak bersurai.
Bagaimanapun lelaki itu tidak membenarkan perbuatan tersebut, tetapi tertuduh memberitahu ‘kita ini malaikat, tidak mempunyai nafsu’.
Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh dianggap kritikal. – UTUSAN