KUBANG PASU: Membesar tanpa kasih sayang ibu bapa apatah lagi jauh meninggalkan tempat kelahiran demi menuntut ilmu memerlukan ketabahan yang kuat bagi seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Meskipun berdepan pelbagai rintangan, Emina Kulasic Bong Ei Min, 24, mampu membuktikan dia boleh mengharungi ujian itu sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-37.
Pada masa sama, gadis kelahiran Sarikei, Sarawak itu juga aktif di kampus termasuk menjadi tonggak Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UUM dengan jawatan Setiausaha Agung sekali gus memerlukan keseimbangan masa untuk belajar dan berorganisasi.
“Saya tak terfikir tentang anugerah ini sebelum terkejut menerima panggilan daripada pihak universiti memaklumkan saya salah seorang penerimanya.
“Sebagai pemimpin dalam MPP, saya kerap terpaksa tinggalkan kuliah untuk menyertai pelbagai program. Syukur saya ada pensyarah dan rakan-rakan yang memahami untuk ulang kaji semula pelajaran jika tertinggal,” katanya.
Graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa itu menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang dikurniakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semalam.
Emina berkata, dia dijaga ibu saudara sejak usia 11 tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser paru-paru, manakala bapa tidak diketahui status sejak dilahirkan.
“Semasa belajar di sini, saya hidup sendirian dan berdikari. Secara jujurnya, sebelum majlis konvokesyen bermula, saya menangis apabila tengok kawan-kawan ada mak ayah. Apa pun saya perlu terus kuat dan hari ini saya ada kawan-kawan yang naik pentas untuk terima ijazah dan anugerah,” ujarnya.
Katanya, dia menampung pengajian menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain pendapatan yang diperoleh sebagai pempengaruh. – UTUSAN