MELAKA: Mesyuarat Khas Pasukan Petugas (Task Force) Pengurusan Pasca Bencana Banjir Melaka mengambil keputusan untuk menilai semula kedudukan 124 titik panas (hotspot) yang sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan di negeri ini.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah dan tanah (PDT) perlu mengumpul maklumat terkini mengenai kedudukan itu.
“Mesyuarat petang semalam kita adakan adalah untuk mengenal pasti semula semua 124 hotspot. Kita hendak tahu mana yang perlu kita buat terus dan tidak boleh tunggu dan dalam masa yang sama, kita fikirkan projek untuk jangka pendek dan panjang.
“Semua agensi telah diminta untuk mengumpul semula maklumat untuk kita bentangkan pada mesyuarat akan datang terutama melibatkan JPS, PBT, JKR dan PDT.
“Sebelum ini kita telah melawat kawasan kerap dilanda banjir kilat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Kesidang, Paya Rumput dan Durian Tunggal sebelum ke Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Suntikan Semangat Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput di sini, semalam.
Tambah Rais, masalah banjir di DUN Rim dijangka dapat diatasi apabila Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Jasin siap pada Ogos tahun depan. – UTUSAN