JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyasarkan mencapai tahap tiga bagi kategori ‘Leading Smart City’ atau Bandar Pintar menjelang tahun 2025 atau 2026.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan memanfaatkan teknologi canggih bagi meningkatkan pengurusan dan kecekapan bandar demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mengadakan lawatan ke Johor Bahru Integrated Operations Control Centre (JBIOCC) atau Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru bertempat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“JBIOCC dilengkapi dengan 108 kamera litar tertutup berkeupayaan 15 ciri kecerdasan buatan (AI) serta Pusat Operasi Bersepadu Pintar (SIOC).
“Pusat kawalan itu turut menempatkan 500 unit kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan, lima ‘video management system’ (VMS) dan 10 ‘panic button’ siap dipasang di sekitar bandar raya Johor Bahru,” katanya selepas melawat pusat kawalan berkenaan di Menara MBJB, di sini.
Onn Hafiz berkata, pusat tersebut memainkan beberapa fungsi utama, iaitu pemantauan keselamatan dan kecemasan; pengurusan trafik dan pengangkutan awam, pengurusan infrastruktur bandar, pengurusan bencana dan penguatkuasaan undang-undang.
“Sempena lawatan ke MBJB, saya juga dibentangkan hala tuju, strategi dan penarafan Bandar Pintar Negeri Johor, khususnya di bawah MBJB untuk menjadi ‘Leading Smart City’ tahap 3 pada tahun 2025 atau 2026.
“Saya yakin dan pasti dengan komitmen semua pihak, Johor Bahru mampu menjadi sebuah bandar pintar yang bertaraf antarabangsa selaras dengan aspirasi Bandar Pintar Johor 2030,” katanya.