PASIR PUTEH: Seorang mekanik maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik selepas memegang jeriji besi pintu rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Banir Belikong, Selising di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu mangsa Tuan Mohd. Zakaria Tuan Ismail, 35, meninggal dunia di lokasi.
Difahamkan terdapat satu plag
berhampiran jeriji besi tersebut yang digunakan untuk mesin basuh.
Sementara itu, adik iparnya Siti Nur Aziana Bidin, 18, ketika dihubungi berkata, kejadian itu disedari oleh anak lelaki mangsa berusia sembilan tahun yang sedang duduk di atas sofa.
Katanya, terkejut dengan kejadian itu dia terus memanggil nenek untuk meminta bantuan.
“Rumah saya, ayah dan abang ipar terletak bersebelahan sahaja. Semasa kejadian kawasan rumah kami dilanda banjir dan arus deras disebabkan berhampiran dengan sungai.
“Semasa kejadian arus deras dan dalam. Keadaan itu menyebabkan abang ipar (Tuan Mohd. Zakaria) abang ipar telah dihanyutkan arus.
“Selepas kejadian itu, abang saya (Mohamad Nor Hazli Bidin, 39) telah berusaha mencari Tuan Mohd. Zakaria dengan meniti di atas wayar paip getah yang diikat pada tiang rumah serta pokok. Sekitar jam 6 pagi, sebaik sahaja azan Subuh, mayat abang ipar telah ditemukan di tepi rumah,” katanya.
Siti Nur Aziana memberitahu, jenazah abang iparnya itu kemudian kepada pihak berkuasa dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.-UTUSAN