KOTA BHARU: Harga pil yaba yang dijual kurang dari RM10 sebiji dipercayai menjadikan masalah dadah di negeri ini serius sehingga ada dalam kalangan pelajar sekolah mula terjebak dengan kegiatan penagihan bahan terlarang itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, situasi tersebut menjadikan bahan terlarang itu popular di sini berbanding dadah jenis ganja, heroin dan syabu.
“Harga pil yaba di sini murah kerana kos pengangkutan termasuk halangan (selepas diseludup dari Thailand) jauh lebih rendah. Jika dibawa keluar dari Kelantan, risiko untuk ditangkap tinggi.
“Jadi, sebiji pil kuda di Kelantan boleh dijual pada harga bawah RM10 berbanding di negeri-negeri lain iaitu RM15. Ia sekali gus menyebabkan ramai pelajar sekolah mula terjebak dengan dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, melihat kepada situas itu dan kejayaan rampasan mencecah jutaan ringgit sebelum ini Polis Kelantan akan mewujudkan pasukan khas dalam usaha membendung pengedaran dan penyalahgunaan dadah terutama pil yaba.
Katanya Polis Kelantan akan mempertingkatkan lagi operasi dan mengenal pasti sindiket sedia untuk bagi melakukan tangkapan.
“Kita juga akan menjalinkan kerjasama rapat dengan pasukan Polis Thailand khususnya di wilayah Narathiwat.
“Kami sentiasa bekerja erat dan bertukar-tukar maklumat dalam membendung kemasukan dadah ke negeri ini,” ujarnya.