PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk menamatkan keganasan Israel sekali gus menyokong perjuangan Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam.
Pada sesi itu, Perdana Menteri turut menyatakan sokongan resolusi yang dipersetujui oleh sidang kemuncak tersebut dalam usaha menamatkan genosid berterusan rakyat Palestin oleh Israel.
Menurut Kementerian Luar, Perdana Menteri turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan inisiatif termasuk mengenakan sekatan senjata serta-merta terhadap Israel.
“Tindakan tegas tersebut adalah penting bagi menghentikan tindakan ganas rejim Zionis Israel yang berleluasa sehingga mengancam kestabilan rantau berkenaan, berikutan serangan Israel ke atas Lubnan, Iraq, Iran, Yaman, dan Syria.
“Anwar juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
“Malaysia menolak sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk mengharamkan agensi tersebut,” katanya
Pada masa sama, Malaysia menegaskan komitmennya terhadap peranan penting UNRWA dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk membantu mengurangkan penderitaan yang dialami pelarian Palestin.
Ini termasuk menggesa penggantungan ataupun penyingkiran Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Malaysia menegaskan komitmennya dalam membantu pembinaan semula Gaza dan menekankan keperluan untuk tindakan antarabangsa yang segera dan diselaraskan untuk mencapai objektif ini.
“Ini bagi memudahkan kepulangan semula penduduk Palestin ke tanah air mereka,” katanya.
Di sela-sela Sidang Kemuncak itu, Anwar turut bertemu dengan pemimpin dari Kuwait, Lubnan, Maldives dan Arab Saudi untuk membincangkan situasi di Palestin, langkah-langkah untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
Ini termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China. – UTUSAN