Malaysia perkukuh kawalan penularan Mpox Clade Ib - Utusan Malaysia

Malaysia perkukuh kawalan penularan Mpox Clade Ib

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kes Mpox jenis Clade Ib yang lazim ditemukan di Afrika, kini turut dilaporkan di lima negara lain termasuklah Sweden, Thailand, India, Jerman dan Britain dengan kes terbaharu di Britain yang melibatkan sejarah perjalanan ke rantau Afrika.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, di Malaysia, jumlah keseluruhan kes kekal kepada 10 iaitu sembilan dilaporkan pada tahun 2023 dan satu kes pada tahun 2024 dan semua kes adalah daripada varian Clade II.

Jelas beliau, buat masa ini, Malaysia telah pun mengambil pendekatan menyeluruh untuk mencegah dan mengawal penularan jangkitan Mpox melalui advokasi, pendidikan kesihatan dan pemantauan kesihatan awam.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkukuh pemantauan dan pelaporan kes Mpox dari dalam dan luar negara dan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) terus dibuka untuk memantau perkembangan terkini.

“Sesi libat urus bersama pemilik premis berisiko seperti spa dan pusat urutan turut dijalankan bagi memastikan pemantauan gejala Mpox dalam kalangan pekerja dan pelanggan dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan risiko penularan varian baharu cacar monyet atau Mpox seperti yang dikesan di Britain masih rendah, namun rakyat Malaysia disarankan sentiasa berjaga-jaga sementara pihak berkuasa terus memantau perkembangan kes baharu.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM turut memastikan ketersediaan antiviral dan vaksin Mpox sebagai persediaan menghadapi sekiranya berlaku peningkatan kes.

Kata beliau, nasihat kesihatan juga telah disebarkan melalui media sosial dan media arus perdana bagi meningkatkan kesedaran umum.

“Arahan rasmi atau kenyataan baharu akan dikeluarkan sekiranya terdapat ancaman baharu yang memerlukan tindakan yang lebih drastik.

“Semua pendekatan ini membolehkan kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan tanpa mencetuskan kebimbangan yang tidak perlu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya