Malaysia lakar sejarah di INO 2024

Malaysia lakar sejarah di INO 2024

CHANG Lih Kang bersama sebahagian tetamu dan pemenang yang hadir pada Majlis Penutup International Nanotechnology Olympiad (INO) 2024 di Bangi Resort Hotel, kelmarin. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Malaysia sekali lagi melakar sejarah di pentas antarabangsa apabila dua kumpulan pelajar negara meraih kejayaan gemilang dalam Pertandingan 2nd International Nanotechnology Olympiad (INO) 2024 berlangsung baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini menjadi medan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dari pelbagai negara menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang nanosains dan nanoteknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, INO 2024 yang bertemakan Aplikasi Nanoteknologi Bagi Tenaga Alternatif’, menyaksikan Kumpulan Malaysia 2 meraih pingat perak, sementara Kumpulan Malaysia 1 dinobatkan sebagai pemenang pingat emas dalam kategori Projek Terbaik bagi Pembangunan Sains dan Teknikal.

Katanya, pertandingan ini turut disertai pasukan dari-negara seperti Taiwan, Thailand, Iran dan Hong Kong yang kesemuanya membawa idea-idea inovatif dalam penyelidikan nanosains.

“Pertandingan ini turut berfungsi sebagai platform untuk mengasah bakat-bakat baharu, memupuk semangat kerjasama pasukan dan memberi pendedahan berharga kepada pelajar mengenai proses inovasi dan pengkomersialan teknologi nano.

“Perkara penting bagi negara kita adalah memberikan pendedahan luas kepada para saintis dan penyelidik agar mereka dapat membangunkan ekosistem nanoteknologi yang kukuh dan sihat,” katanya selepas Majlis Penutup INO 2024, Bangi Resort Hotel, di sini, kelmarin.

Pertandingan INO 2024 turut menyaksikan simbolik penyerahan tuan rumah kepada Taiwan bagi penganjuran 3rd INO 2026 di Taipei, Taiwan, menandakan perkembangan pesat nanoteknologi global dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam meneroka potensi besar teknologi nano.

“Kami berharap dengan program-program seperti ini, kita dapat mempergiatkan usaha dalam bidang nanoteknologi. Ini juga akan menyokong pembangunan ekosistem ekonomi hidrogen dan teknologi hidrogen di masa hadapan,” katanya.

CHANG Lih Kang (empat kiri) menyampaikan sijil dan pingat beserta plak cek kepada pasukan Malaysia 1 yang meraih emas dalam kategori Projek Terbaik bagi Pembangunan Sains dan Teknikal meraih kemenangan emas dalam acara Projek Sains dan Pembangunan Teknikal Terbaik pada majlis penutup International Nanotechnology Olympiad (INO) 2024 di Bangi Resort Hotel, kelmarin. UTUSAN/AMIR KHALID

Sementara itu, pelajar Ijazah Doktor Falsafah Sains Gunaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Mohd. Faridzuan Majid berkata, kumpulannya menghasilkan bahan dengan mengaplikasikan konsep piezoelektrik iaitu bahan yang mampu menghasilkan tenaga elektrik melalui pergerakan mekanikal seperti pergerakan tubuh apabila berjalan, berlari atau melompat.

Teknologi itu katanya, boleh digunakan dalam bangunan dengan memasang bahan piezoelektrik untuk menghasilkan tenaga melalui pergerakan.

“Kami yakin produk ini berpotensi berkembang pada masa hadapan kerana boleh diadaptasi dalam pelbagai jenis produk yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

“Sebagai contoh, ia boleh digunakan dalam peralatan harian seperti kasut sukan, jaket dan peralatan perubatan.

“Kami juga memanfaatkan apa yang ada dan mengubah tenaga mekanikal yang terhasil daripada pergerakan kepada tenaga elektrik yang berguna,” katanya.

Tambahnya, beliau dan rakan-rakan mempunyai pelbagai latar belakang termasuk bidang sains bahan, kecerdasan buatan (AI) serta Internet of Things (IoT) dan mampu mengintegrasikan kepakaran ini untuk mencipta produk daripada teknologi piezoelektrik.

Dalam pda itu, pelajar Ijazah Sarjana Sains dan Kejuruteraan Tenaga Baru, Universiti Xiamen Malaysia, Eugene Ling Wei Hong berkata, kumpulannya memilih wayar nano silikon sebagai fokus utama projek kerana ia adalah teknologi yang kukuh dan sedia ada.

Mereka berusaha mengaplikasikan teknologi ini dalam industri dan memajukan ke arah pengkomersialan terutama dalam penghasilan hidrogen hijau sebagai tenaga alternatif dan peralihan ke arah tenaga hijau.

“Hidrogen boleh digunakan sebagai bahan api untuk menghasilkan elektrik atau dalam kenderaan seperti kereta dan jet.

“Keistimewaannya, hidrogen hijau adalah bahan api paling bersih dan mesra alam kerana ia tidak menghasilkan karbon dioksida atau gas rumah hijau tetapi hanya menghasilkan air sebagai produk akhir pembakaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN