PETALING JAYA: Malaysia mencapai tahap 75.8 peratus penduduk yang menghuni di bandar setakat tahun ini.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, Datuk Dr. Alias Rameli berkata, antara yang menjadi tumpuan penduduk adalah di enam bandar raya besar iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.
Menurutnya, dengan peratusan mencecah 80 peratus, langkah adaptasi dan mitigasi menyeluruh diperlukan agar tidak memberi kesan buruk kepada bekalan sumber dan penggunaan tenaga.
“Malaysia menunjukkan trend di mana hampir 80 peratus rakyatnya akan menjadi penghuni bandar menjelang 2030.
“Bertitik tolak daripada hal ini, pembangunan berkonsepkan bandar pintar dilihat berupaya menjadi solusi terbaik untuk memperbaiki kesejahteraan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.
Katanya, peralihan kepada bandar pintar diperlukan kerana ia menjadi sebahagian daripada asas pembangunan bandar mampan.
“Bandar pintar adalah sebahagian daripada asas pembangunan bandar mampan yang melibatkan proses pembangunan yang memberi perhatian dan menyeimbangi pelbagai aspek,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan pemilihan bandar sebagai tempat kediaman mampu meningkatkan pelepasan karbon dioksida sehingga paras 75 peratus.
“Ekoran itu, pelepasan karbon dioksida global dijangka mengalami lonjakan kepada paras 75 peratus.
Dalam pada itu, jelas Alias, kepentingan profesion perancang bandar dilihat menjadi signifikan terutama apabila melihat kepada permasalahan perbandaran pada masa lalu.
Katanya, agenda ekonomi global turut membuktikan kepentingan sektor itu dalam berdepan musibah melibatkan elemen daya ketahanan perbandaran.
“Sejarah pandemik Covid-19 menyebabkan seluruh ekonomi global tergendala seketika. Agenda ekonomi global membuktikan bahawa sektor perancangan sangat berkait rapat dengan musibah yang melanda.
“Keresahan dan kejelikan perbandaran masa lalu yang berpunca daripada keterlanjuran dan kegagalan perancangan perlu dijadikan iktibar.
“Jadi, saya amat mengharapkan kerjasama dan muafakat daripada semua sama ada yang berkhidmat di sektor awam mahupun swasta untuk tidak lagi menjalankan tugas perancangan secara business as usual,” katanya. – UTUSAN