SHAH ALAM: Malaysia dan Brunei meneruskan komitmen dalam perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menghantar seramai 854 pegawai dan anggota dalam Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 bagi Misi Pengaman PBB di Lubnan (UNIFIL) secara berfasa bermula hari ini.
Kesemua mereka terdiri daripada 82 pegawai, 772 anggota lain-lain pangkat (LLP) serta tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan.
Daripada jumlah tersebut seramai 220 pegawai dan anggota dihantar menerusi kumpulan pertama pada hari ini, diikuti 10 November (219), 14 November (207) dan 18 November (208).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kali ini kesemua pegawai dan anggota dalam MALBATT 850-12 diberi taklimat khas berkenaan ketegangan yang berlaku di sempadan Lubnan – Israel sepanjang menjalani latihan selama 12 minggu di MALBATT Village, Port Dickson.
“Mereka bukan sahaja dilatih tetapi diberi taklimat tentang keadaan, mengenai budaya orang di sana, ancaman-ancaman di sana. Pendek kata, dalam kita pergi untuk melaksanakan amanah tugas dan juga misi, mereka diberi pesanan-pesanan tentang keadaan keselamatan.
“Mereka juga dibuat ujian psikologi supaya mereka dalam keadaan bersedia untuk melaksanakan misi (fit for mission) di sana. Mereka juga membawa bendera kita, mereka menyumbang kepada reputasi negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-12 Ke Lubnan, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lebih 30 serangan didakwa dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) yang dilihat menyasarkan kem-kem Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) direkodkan pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled memberitahu kawasan kem yang menempatkan pasukan MALBATT diyakini selamat daripada ancaman darat kerana ia dikelilingi kem pasukan dari negara lain
Malah, beliau mengesahkan kesemua anggota yang terlibat dalam misi UNIFIL iaitu MALBATT 850-11 berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang secara berfasa.
“Kita bersyukur, sehingga hari ini, semuanya dalam keadaan selamat dan kita dapat lihat kalau ada ancaman darat kita sudah pun dari semasa ke semasa mengarahkan mereka untuk mengambil tindakan sama ada berada di dalam bunker, tidak lagi menjalankan tugas.
“Kita hanya khuatir kalau ada serangan udara, kita tak dapat kepastian, tetapi akhir-akhir ini tidak ada lagi serangan udara. Itulah mereka (Israel) pun sedang bergelut di sana, mereka baru tukar Menteri Pertahanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pasukan itu diwujudkan bagi tujua keamanan, justeru segala kelengkapan yang dibekalkan adalah bersesuaian dengan tujuan misi, bagaimanapun tindakan pertahanan dilakukan jika berlaku serangan. – UTUSAN