PETALING JAYA: Walaupun kadar jangkitan dilaporkan masih rendah di seluruh dunia, Malaysia berisiko tinggi dijangkiti virus selesema burung H5N1.
Pensyarah Kanan Pusat penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya (UM) Dr. Zubaidah Ya’cob berkata, ia berikutan kedudukan geografi Malaysia yang strategik dan menjadi laluan burung untuk bermigrasi dari beberapa negara termasuk Siberia, China, Mongolia, dan Korea sebelum menuju ke Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Katanya, jangkitan manusia lazimnya berlaku melalui sentuhan langsung dengan burung yang dijangkiti atau persekitaran tercemar.
“Ia boleh tersebar kepada manusia melalui kontak langsung dengan unggas yang dijangkiti, najis burung, atau bahan yang tercemar oleh virus tersebut. Walaupun jangkitan pada manusia jarang berlaku, ia boleh menyebabkan penyakit yang serius, bahkan kematian.
“Justeru beberapa langkah pemantauan perlu dilaksanakan terutama di kawasan ladang ternakan ayam, itik dan kawasan tumpuan burung liar. Malah dalam konteks Malaysia, strain seperti H5N1 dan H7N9 dikesan sebagai ancaman utama, “ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebagai rekod selesema burung atau influenza adalah penyakit zoonotik yang disebabkan virus influenza A yang menyerang burung dan mamalia.
Terbaharu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara di seluruh dunia untuk meningkatkan pemantauan bagi selesema burung selepas kes pertama dikesan pada seorang kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pengarah Kesediaan dan Pencegahan Epidemik serta Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove, jumlah jangkitan selesema burung H5N1 yang dikesan dalam manusia di seluruh dunia meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Dr. Zubaidah mengulas mengenai pencemaran susu di California berkata, Malaysia tidak terlepas daripada berdepan masalah sama.
Justeru beliau menggesa syarikat makanan terutama pengeluar susu di negara ini melaksanakan ujian pengesanan patogen secara berkala sekiranya terdapat laporan jangkitan zoonotik.
“Antaranya, ujian mikrobiologi untuk mengesan kehadiran bakteria seperti Escherichia coli, Salmonella dan Listeria. Ujian pengesanan kehadiran virus influenza termasuk selesema burung (avian influenza) mungkin dilakukan dalam situasi tertentu yang memerlukan perhatian khas, seperti semasa wabak atau apabila terdapat risiko pencemaran silang melalui sumber air, makanan ternakan, atau hubungan dengan burung yang dijangkiti,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun susu diproses menggunakan Ultra-High Temperature (UHT) umumnya dianggap selamat jangkitan patogen zoonotik, ia tetap berisiko dalam situasi tertentu.
“Risiko pencemaran selepas proses UHT boleh berlaku jika pengendalian yang tidak betul. Oleh itu, pemantauan ketat terhadap sanitasi sepanjang proses pengeluaran penting memastikan keselamatan produk tenusu,” kata beliau. – UTUSAN