PETALING JAYA:Malaysia bersedia menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan dalam usaha membantu mangsa terkesan akibat serangan Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian kepada rakan sejawatnya dari Lubnan, Najib Mikati, ketika pertemuan di Riyadh, Arab Saudi sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
“Dalam pertemuan ini saya nyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan kegilaan rejim Zionis Israel.
“Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel.Serangan itu turut mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tercedera,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial hari ini.
Anwar kini dalam rangka lawatan ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
Beliau dijangkakan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin dan menyampaikan suara serta harapan negara di pentas antarabangsa.