Malaysia berdepan krisis tenaga buruh

Malaysia berdepan krisis tenaga buruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berdepan krisis tenaga buruh akibat penurunan kadar kelahiran yang ketara dalam tempoh lima dekad serta dijangka beralih kepada status negara tua lebih awal daripada jangkaan pada 2030.

Data menunjukkan kadar kesuburan rakyat Malaysia telah merosot daripada 6.7 kanak-kanak bagi setiap wanita pada tahun 1957 kepada hanya 2.1 pada tahun 2010, sebelum jatuh lebih rendah kepada purata 1.6 anak bagi setiap wanita pada tahun 2022.

Penurunan ini semakin ketara apabila kadar kelahiran semasa bagi Malaysia pada 2024 mencatatkan 15.602 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk iaitu penurunan 1.71 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan Khazanah Research Institute (KRI), penurunan kadar kelahiran ini turut menyumbang kepada penyusutan jumlah tenaga buruh iaitu individu berusia 15 hingga 64 tahun.

Situasi ini dijangka memberi kesan besar terhadap struktur ekonomi dan pembangunan negara terutama dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia serta penurunan kadar kematian.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Novel Lyndon berkata, trend penurunan kadar kelahiran berpotensi memberi kesan negatif terhadap struktur tenaga buruh negara.

Kata beliau, penurunan ini bukan sahaja mengurangkan tenaga kerja muda dalam jangka masa panjang, tetapi juga menjejaskan produktiviti dan daya saing Malaysia di peringkat global.

“Jika trend ini berterusan, negara mungkin bergantung sepenuhnya kepada buruh asing untuk memenuhi keperluan sektor kritikal seperti pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.

“Kebergantungan ini boleh memberi kesan kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara termasuk kebocoran kewangan apabila sebahagian besar pendapatan buruh asing dihantar ke negara asal mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Novel menggesa langkah segera diambil dengan memperkenalkan dasar proaktif seperti Dasar Keluarga Malaysia atau Dasar Satu Keluarga Lima Anak.

Beliau berkata, dasar ini bertujuan mempromosikan perkahwinan dan pembentukan keluarga besar khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Pelbagai insentif kewangan termasuk subsidi perumahan untuk pasangan muda, potongan cukai kepada keluarga besar dan bantuan penjagaan anak bagi meringankan beban kewangan keluarga.

“Langkah ini dapat memberi manfaat kepada individu serta membantu Malaysia mengekalkan keseimbangan demografi dan memastikan kesinambungan tenaga kerja dalam menghadapi cabaran ekonomi global pada masa depan,” katanya.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peratusan penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

Statistik ini selaras dengan definisi negara tua iaitu apabila 15 peratus daripada penduduknya terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Bahkan, Malaysia sebenarnya telah mencapai status negara tua sejak tahun 2020 apabila 7.2 peratus populasinya berusia 65 tahun ke atas seperti yang diunjurkan dalam laporan Population Projection (Revised), Malaysia, 2010-2040.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, krisis tenaga buruh adalah fenomena yang lazim dihadapi oleh negara membangun terutama apabila beralih ke arah status negara maju.

Kata beliau, peralihan ini meningkatkan keperluan tenaga buruh dalam sektor ekonomi tertentu sekali gus mencetuskan cabaran dalam memenuhi permintaan tersebut.

“Dalam konteks Malaysia, kesan krisis ini masih terkawal namun dalam jangka masa panjang, jika kebolehpasaran graduan institusi pengajian tinggi tidak diberi perhatian sepenuhnya, ia boleh menggugat struktur ekonomi negara.

“Krisis ini juga boleh menambah tekanan terhadap krisis tenaga buruh dalam sektor yang memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi,” katanya.

Bashir Ahmad berkata, persediaan Malaysia dalam menghadapi cabaran ketidakseimbangan demografi bergantung pada keberkesanan dasar dan polisi semasa kerajaan dalam merangka hala tuju ekonomi dan pembangunan negara.

“Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, dasar kerajaan perlu menyediakan peluang kepada warga emas yang masih berupaya untuk terus menyumbang kepada ekonomi.

“Langkah ini penting untuk memastikan pengalaman dan kepakaran mereka dimanfaatkan, seperti yang diamalkan di negara maju,” jelasnya.

Tambah beliau, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memperkasa golongan muda dengan kepakaran dan kemahiran tinggi bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja.

“Sekiranya kedua-dua aspek ini tidak diberi perhatian, negara berisiko menghadapi jurang produktiviti yang ketara.

“Jurang ini bukan sahaja melibatkan perbezaan antara tenaga kerja tempatan dan asing, tetapi juga antara generasi muda dan tua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya