KUANTAN: Malaysia perlu memproses sendiri kira-kira 16 juta tan metrik unsur nadir bumi tempatan iaitu Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) yang dianggarkan bernilai hampir RM800 bilion.
Terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan mempunyai IAC-REE dianggarkan 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion. Negeri-negeri tersebut ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dua di negeri di utara iatu Perak dan Kedah merekodkan jumlah IAC-REE melebihi satu juta tan. Terengganu paling banyak iaitu di Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun membabitkan 7.2 juta tan dengan nilai pasaran berjumlah RM362 bilion.
Kelantan negeri kedua di Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang membabitkan 2.5 juta tan IAC-REE, nilai pasaran RM2.9 bilion, Perak (1.6 juta tan), Pahang (1.2 juta tan) dan Kedah (1.1 juta tan).
Presiden Nadibumi International Sdn. Bhd., Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, sampai masanya kerajaan perlu yakin dengan kemampuan anak tempatan dan tidak mengharapkan teknologi dan pertolongan negara luar.
Menurut beliau, China telah mengeluarkan kenyataan tahun lalu iaitu menguatkuasakan polisi republik berkenaan yang mengharamkan eksport teknologi daripada perlombongan, pemprosesan kepada pembuatan magnet berasaskan nadir bumi.
“Kita (Malaysia) tidak ada pilihan selain membangun dan guna kepakaran dan teknologi tempatan untuk meneruskan industri nadir bumi di negara sendiri.
“Cukup-cukuplah kita dijajah melalui kekayaan hasil mahsul negara sebelum ini diambil secara mentah dan diproses di luar negara, kemudian dihantar semula barang siap kepada kita,” soalnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ahad lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan REE akan dapat diproses dalam tempoh tiga tahun lagi kerana teknologi untuk memproses sumber itu hanya terdapat di China.
Mengulas lanjut, Badhrulhisham berkata, kenyataan Rafizi yang mengharapkan teknologi China mengecewakan.
“Buat masa ini, Pusat SmaRRT, UMPSA ditubuhkan pada 2014 (sebelum ini dikenali Pusat Kajian Nadir Bumi) sudah menjalankan penyelidikan dalam pemprosesan nadir bumi secara intensif. Penglibatan salah seorang staf dalam pengekstrakan uranium dan thorium dari proses nadir bumi di Bukit Merah sejak 1986 juga merupakan testimoni kepada keupayaan Pusat SmaRRT,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Badhrulhisham berkata, di makmal Pusat SMaRRT, beberapa loji mini pemprosesan nadir bumi IAC juga sudah beroperasi.
Selain itu, katanya, dua buah syarikat tempatan sedang menumpukan usaha memproses nadir bumi secara holistik dengan merangkumi rangkaian bekalan dan mereka sehingga sekarang terlibat secara intensif.
“Sebuah di Pantai Barat dan sebuah lagi di Pantar Timur yang beroperasi di Kuantan. Syarikat Nadibumi International Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sepenuhnya oleh warga Malaysia, yang merupakan syarikat tempatan akan memainkan peranan penting terutama dalam pembangunan industri kritikal mineral negara terutama nadir bumi di Pantai Timur dan juga negeri-negeri lain,” kata beliau. – UTUSAN