Mahligai Cinta promosi pasangan berkahwin

Mahligai Cinta promosi pasangan berkahwin

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melancarkan program Mahligai Cinta untuk menggalakan lebih ramai pasangan berkahwin sekali gus mengatasi masalah penurunan kadar perkahwinan negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan keberkesanannya dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan perkahwinan serta menyokong usaha pembentukan keluarga bahagia dan stabil.

Menurut beliau, antara objektif program itu adalah memartabatkan institusi perkahwinan, memberi peluang kepada pasangan pengantin yang kurang berkemampuan meraikan hari bahagia dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mengenal diri dan pasangan.

“Program yang dijadualkan pada 30 November ini juga mempunyai matlamat dalam meningkatkan kadar perkahwinan serta kelahiran di negara ini.

“Kita tidak mahu penduduk negara ini makin berkurangan. Yang lebih dewasa itu perlu memahami dan membantu melaksanakan tanggungjawab mereka. Bagi pihak kami, kita menggalakkan perkahwinan menerusi pelbagai program yang membantu pasangan mendapatkan anak jika itu rezeki mereka daripada Tuhan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, kebanyakan generasi muda dipercayai cenderung menjalin hubungan tidak sah atau luar nikah dengan pasangan masing-masing kerana tidak mahu terikat dengan komitmen jangka panjang sekali gus menyumbang kepada penurunan kadar perkahwinan.

Senario ini dikuatkan lagi dengan data Kementerian Ke-si-hatan (KKM) yang menunjukkan 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lepas melibatkan 17,646 orang belum berkahwin.

Dalam pada itu, Nancy berkata, usaha menggalakkan masyarakat berkahwin memerlukan tindakan menyeluruh termasuk sektor swasta seperti farmasi menerusi mengehadkan penjualan pil perancang kehamilan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kursus praperkahwinan Smart Start dan rawatan kesuburan subfertiliti yang diperkenal merupakan inisiatif bagi membantu pasangan memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan dan untuk mereka yang berdepan cabaran mendapatkan anak,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kebergantungan berlebihan terhadap alat itu boleh membawa risiko kepada kesihatan fizikal dan mental khususnya dalam kalangan wanita yang terlibat dengan hubungan seksual luar nikah.

Katanya, ia bukan sahaja membabitkan masalah kesihatan seperti nanah dalam rahim atau kehamilan luar rahim tetapi juga berisiko menyebabkan ketidaksuburan kekal.

“Wanita yang mengamalkan seksual bebas lebih berisiko dijangkiti penyakit kelamin seperti Human Papillomavirus (HPV), cacar monyet dan pelbagai jangkitan bakteria lain.
“Ini boleh menyebabkan komplikasi serius pada organ pembiakan termasuk jangkitan pada rahim, tiub fallopio dan ovari,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang syariah yang tegas untuk mencegah pergaulan bebas dan zina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya