ARAU: Mahasiswa wajar mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) seterusnya menguasai teknologi tersebut dengan sebaik-baiknya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mahasiswa juga perlu mengambil pendekatan berinovatif dan eksplorasi kendiri dengan teknologi ini.
Titah baginda yang juga merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), hal demikian bukan sahaja membantu mempercepatkan proses sesuatu pekerjaan, malah dapat meningkatkan produktiviti serta menawarkan peluang kerjaya berkaitan inisiatif berkenaan.
“Teknologi AI ini perlu dikuasai dan dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai alatan yang akan meningkatkan produktiviti kerja dan berkebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks dalam jangka masa yang singkat,” titah baginda melalui rakaman video sewaktu sidang kelapan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-19 di
Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap Pauh Putra di sini, semalam.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Tuanku Pro-Canselor Unimap berkenan berangkat bagi menyempurnakan istiadat konvokesyen berkenaan.
Seramai 374 graduan telah terlibat pada sidang kelapan tersebut terdiri daripada graduan diploma serta Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE).
Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan Pingat Emas Naib Canselor (diploma) kepada Dinul Aisyah Mohd Sani dari Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Thivaagat Segeranazan dari diploma Kejuruteraan Pembuatan.-UTUSAN