GEORGE TOWN : Mahasiswa yang bakal menjadi wartawan perlu beradaptasi dengan teknologi terkini selain memahami dinamika sosial media berikutan kerjaya itu kini lebih kompleks seiring dengan perkembangan dunia digital.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pada masa ini, wartawan tidak hanya bertindak sebagai penyampai maklumat, tetapi pengawal kebenaran, pendidik masyarakat dan pembela suara yang tidak didengari.
“Selain melaporkan fakta mereka turut menganalisis dan memberi konteks mendalam kepada isu-isu semasa agar masyarakat dapat membuat keputusan termaklum yang mendorong dialog umum yang konstruktif.
“Dalam dunia dikuasai oleh media sosial kini, mahasiswa yang bakal menjadi wartawan perlu mampu beradaptasi dengan teknologi terkini dan memahami dinamik sosial media itu sendiri,” katanya dalam ucapan sempena Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara di USM, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin.
Lebih 500 pelajar dan pensyarah daripada tiga universiti awam menyertai Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara, anjuran Sekretariat HAWANA yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama USM melalui Pusat Pengajian Komunikasi.
Menurut Abdul Rahman, USM berperanan penting dalam mencorakkan masa depan industri kewartawanan melalui pendidikan dan latihan berkualiti.
“Melalui program-program inovatif yang ditawarkan di Pusat Pengajian Komunikasi, USM berusaha untuk membentuk mahasiswa yang tidak hanya mahir dalam aspek teknikal kewartawanan tetapi bijak membuat keputusan yang beretika.
“Dengan memperkenalkan kursus-kursus seperti penceritaan data, penerbitan berita untuk pelbagai platform dan kewartawanan media baru yang merangkumi elemen kelestarian, kami memastikan pelajar USM bersedia untuk menerajui dunia media yang bergerak pantas seiring dengan teknologi,” katanya.
Mahasiswa katanya perlu dilengkapi kemahiran dan pengetahuan, bukan sahaja melaporkan berita tetapi memahami implikasi sosial dan etika daripada setiap cerita mereka bina.
“Usaha ini adalah penting bagi memastikan wartawan masa hadapan dapat melaksanakan tanggungjawab berintegriti,” katanya. – UTUSAN