Lumut pekan mati, peniaga `menganggur'

Lumut pekan mati, peniaga `menganggur’

Suasana di jalan utama di pekan Lumut yang bagaikan ‘mati’ kerana kekurangan pengunjung terutama pada hari bekerja. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Popular sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim, pekan Lumut di Perak tidak lagi semeriah dahulu sebaliknya ia umpama pekan mati disebabkan kurang dikunjungi orang luar terutama pelancong.

Sebelum ini Lumut sentiasa menjadi pilihan pelancong sama ada mahu bersiar-siar atau berkunjung untuk menikmati pemandang indah di pekan tepi laut yang menghadap Selat Dinding dan Selat Melaka.

Jika mahu ke Pulau Pangkor, pelancong akan ke Lumut untuk menaiki feri dari pekan itu ke pulau tersebut, menjadikan pekan itu sentiasa dipenuhi de­ngan pengunjung.
Namun, suasana itu sudah lama tiada antaranya disebabkan pelancong yang mahu ke Pulau Pangkor mempunyai pilihan menggunakan feri ke pulau tersebut iaitu di Jeti Marina di Jalan Teluk Muroh.

Jeti tersebut lebih menjadi pilihan untuk ke Pulau Pangkor kerana masa perjalanan lebih singkat iaitu antara lima hingga 10 minit berbanding jika menaiki feri dari Lumut yang memakan masa 25 hingga 30 minit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria yang merupakan anak jati Lumut antara individu yang melihat perubahan ketara pekan Lumut daripada sebuah pekan yang dipenuhi pelancong satu ketika dahulu tetapi kini sepi terutama pada hari biasa.

Jika mahu melihat sedikit kemeriahan di pekan itu hanya pada hujung minggu, itu pun jumlah pelancong sudah tidak seramai dahulu lagi, katanya.

Gambaran pertama pekan itu semakin kurang dikunjung ialah jumlah peniaga yang menjadikan pekan itu sebagai lokasi mereka mencari rezeki semakin kurang.

Menurut Norhaslinda, berdasarkan angka yang diterimanya dahulu terdapat 106 peniaga yang terdiri daripada peniaga makanan, hasil laut dan pakaian di pekan itu namun jumlah mereka semakin kurang kerana banyak yang sudah menutup perniagaan kerana kekurangan pelanggan.

“Semua jenis perniagaan terjejas di pekan Lumut sekarang. Kali terakhir saya buat perjumpaan dengan peniaga semasa mengagihkan Jalur Gemilang, masa itu saya pusing semua tempat di pekan ini, banyak yang mengadu kata jualan teruk dan mereka kini `menganggur’.

“Kasihan pada peniaga peniaga kecil yang jual hasil laut, kedai makan dan kedai baju yang kurang pelanggan. Keadaan bertambah teruk selepas Perintah Kawalan Pergerakan ketika pandemik Covid-19.

“Kalau mahu mengharapkan pelanggan hanya pada hujung minggu dan cuti sekolah sahaja, kalau hari biasa memang kurang sangat pelanggan,” katanya.

Menurutnya, apa yang dikesalkan ialah terdapat penganjuran expo di pekan itu oleh peniaga luar yang turut melibatkan jualan makanan.

Katanya, walaupun penganjuran expo tersebut berskala kecil melibatkan kira-kira 10 buah kedai tetapi ia dikesali oleh peniaga tempatan yang sudah lama menghadapi masalah kekurangan pelanggan.

“Expo tersebut bukan sesekali malah saya nampak semakin kerap. Isu ini viral juga, mereka (peniaga tempatan) bising, kenapa mereka yang berniaga di sini pun susah nak dapatkan pelanggan kenapa ada pula expo di situ. Ia bukan sahaja diadakan di Lumut sahaja, tetapi juga di pantai Teluk Batik, ini sudah tentu menjejaskan peniaga tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan terbaru pula menyaksikan perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik atau ATM sebuah bank terkenal di pekan Lumut memindahkan operasi ke kawasan lain, iaitu satu kawasan perniagaan baharu di Jalan Teluk Muroh, yang menghala ke Jeti Marina.

“Ini jelas menunjukkan keadaan di pekan Lumut yang semakin kurang pengunjung sehingga pihak bank pun memindahkan operasi mesin ATM mereka ke luar pekan Lumut.
“Sekarang di Lumut hanya ada satu mesin ATM sahaja, mungkin pekan itu terus tidak ada tarikan apa-apa lagi selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN