GEORGE TOWN : Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencatatkan ketibaan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing 1.39 juta dan 1.34 juta, antara Januari hingga September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, LTAPP mempunyai 19 penerbangan terus antarabangsa dan senarai bandar-bandar bagi penerbangan terus tersebut adalah Singapura, Bangkok (Suvarnabhumi International Airport atau BKK) dan Don Mueang International Airport (DMK).
“Turut dalam senarai penerbangan terus antarabangsa ialah Phuket, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Dubai, Shanghai, Shenzhen, Chongqing, Kunming dan Doha,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Zairil (DAP-Tanjong Bungah) menjawab soalan daripada Goh Chong Aik (PKR -Bukit Tambun) mengenai jumlah penumpang domestik dan antarabangsa bagi 2024 dan status penaiktarafan LTAPP oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut Zairil, projek pembesaran LTAPP melibatkan pembesaran kapasiti lapangan terbang daripada 6.5 mppa (juta penumpang setahun) kepada 12 mppa apabila siap kelak.
“Anggaran kos keseluruhana bagi projek pembesaran LTAPP ini adalah sebanyak RM1.55 bilion.
dan hampir keseluruhannya akan dibiayai melalui inisiatif pembiayaan swasta oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tnpa sebarang kerjasama dengan syarikat swasta lain,” katanya.
Tambah Zairil, projek pembesaran LTAPP melibatkan tiga pakej iaitu Works Package 1 (WP01) melibatkan kerja-kerja bangunan sokongan dan pembinaan Remote Digital Virtual Tower (RDVT) dan Works Package 2 (WP02) melibatkan kerja-kerja infrastruktur airside dan apron.
“Ia turut melibatkan Works Package 3 (WP03) melibatkan kerja-kerja di terminal utama. Buat masa ini, Letter of Award (LOA) bagi WP01 telah dikeluarkan pada Julai 2024,” katanya. – UTUSAN