PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan dijangka kekal stabil sepanjang musim tengkujuh meskipun berdepan cabaran cuaca buruk yang boleh menjejaskan aktiviti penangkapan ikan terutama di Pantai Timur.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, dalam usaha memastikan keterjaminan bekalan ikan di pasaran, LKIM membuat persiapan awal dengan menyimpan sekitar 1,600 tan metrik ikan sejuk beku yang terdiri daripada ikan popular seperti selayang, aya, selar, dan kembung.
Menurut beliau, stok ini disimpan di bilik sejuk atau cold room di beberapa Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan syarikat swasta yang bekerjasama dengan LKIM bagi memastikan ikan yang disimpan kekal dalam keadaan baik dan segar untuk dipasarkan kepada pengguna.
“Dengan cara ini, LKIM bukan sahaja dapat mengelakkan penurunan bekalan ikan di pasaran, tetapi dapat mengekalkan harga yang stabil untuk pelbagai jenis ikan yang menjadi pilihan rakyat.
“LKIM juga mengambil langkah untuk mengimport ikan tertentu dari negara jiran seperti Thailand dan India untuk memastikan bahawa keperluan ikan di pasaran dapat dipenuhi, sekaligus mengelakkan sebarang krisis bekalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 5 November ini sehingga Mac 2025, dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, kawalan harga ikan bukan dalam bidang kuasa LKIM, sebaliknya ia terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Walaupun begitu, pihaknya menjangkakan harga ikan tidak akan naik dengan ketara berikutan stok penimbal yang mencukupi dan kehadiran bekalan ikan import.
“Para peniaga perlu menunjukkan tanggungjawab sosial dengan menetapkan harga yang munasabah demi menjaga kestabilan harga untuk kepentingan rakyat,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, pihaknya turut bersedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlangsung dari November hingga Mac tahun hadapan.
Kata beliau, pihaknya dan pengusaha bot swasta sudah membuat simpanan bekalan ikan sejuk beku bagi menampung keperluan pasaran semasa musim tengkujuh.
“Simpanan bekalan ikan ini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang. Setakat ini, bekalan ikan segar masih cukup dan dalam keadaan terkawal.
“Kerajaan juga menyediakan bantuan kewangan bagi menyokong nelayan yang tidak dapat turun ke laut. bantuan sebanyak RM300 disalurkan kepada nelayan bagi menyara hidup mereka yang bergantung sepenuhnya pada hasil laut,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid menegaska, dengan persiapan rapi daripada pelbagai pihak dan kerajaan, bekalan ikan dalam pasaran dijangka stabil sekali gus mengurangkan impak musim tengkujuh terhadap pengguna dan nelayan di seluruh negara.