LIPIS: Lipis menjadi daerah terbaru dilanda banjir sekali gus menjadikan angka mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 441 orang daripada 127 keluarga.
Ini berbanding 153 orang daripada 45 keluarga yang dicatatkan pukul 3.30 petang semalam di daerah Raub.
Menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah terbabit sehingga pukul 8 pagi ini.
Menurutnya, di Raub terdapat enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga manakala di Lipis dua PPS membabitkan 218 mangsa, 61 keluarga.
“Di Raub PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang menempatkan seramai 102 mangsa; Masjid Kampung Pintu Padang (40); Pusat Kegiatan Kemas Gali (35); Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali (25); Sekolah Menengah Agama Al-Fallah, Batu Talam (14) dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu (7).
“Di Lipis, PPS SK Kechau Tui menempatkan 133 mangsa manakala 85 mangsa berlindung di PPS Dewan Semai Bakti Felda Kechau 1,” katanya. – UTUSAN