KAJANG: Polis menahan lima warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh wanita senegara yang mayatnya ditemukan berlumuran darah di dalam bilik sewa di kawasan perindustrian Bandar Teknologi Kajang dekat sini semalam.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia 28 hingga 45 tahun itu ditahan secara berasingan kira-kira 1 petang hingga 6.30 petang di kawasan Bandar Teknologi dan Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan mayat wanita daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun pada 1.09 pagi yang memaklumkan mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai dibunuh di dalam biliknya.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 40 tahun ditemukan dengan 12 kesan tikaman di seluruh tubuh badan diselimuti tilam toto di dalam bilik sewa.
“Kita turut menjumpai senjata iaitu sebilah pisau serta pakaian daripada seorang suspek lelaki.
“Maklumat saksi kejadian iaitu jiran yang turut menyewa di bilik lain rumah tersebut menyatakan terdengar bunyi bising iaitu suara mangsa menjerit meminta tolong sebelum suspek melarikan diri dengan memegang sebilah pisau turun dari bangunan rumah sewa itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi Hospital Serdang mengesahkan mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman benda tajam di abdomen sehingga menyebabkan kehilangan darah yang banyak.
Jelas beliau, punca kejadian adalah dipercayai akibat cemburu.
“Kesemua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden Mohamad Hafeez Hamzah di talian 019-6556 536.- UTUSAN