LIPIS: Penduduk minoriti etnik Semai Ulu Jelai di Kampung Paroh, Pos Lenjang di sini mula membuat lemang ubi kayu ‘busuk’ sebagai persediaan awal menghadapi musim tengkujuh.
Seorang penduduk, Wak Lin, 42, berkata, mereka sudah pun mencabut banyak ubi kayu untuk disimpan dan dijadikan makanan.
“Selalunya ketika musim tengkujuh makanan kami sekeluarga iaitu lemang ubi kayu ‘busuk’ memandangkan tidak mampu keluar bekerja kerana hujan lantaran tiada pendapatan tetap hanya bergantung dengan hasil tanaman sendiri dan sumber hutan terdekat.
“Makanan warisan orang-orang tua ini disebut ubi kayu ‘busuk’ kerana rasanya seakan-akan masam selepas dimasak dalam buluh lemang dan juga kemungkinan ubi kayu ini diperam atau dibiarkan lama sebelum direndam dalam air,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Cerita Wak Lin, untuk menghasilkan makanan itu, ubi kayu direndam dalam air sungai selama empat hari, kemudiannya dibersihkan lalu disagat menjadi tepung yang kasar dengan menggunakan peralatan khas sebelum dibakar dalam buluh.
Katanya, lemang ubi kayu itu boleh tahan sehingga seminggu dan menjadi juadah tengah hari serta malam.