SEREMBAN: Seorang lelaki warganegara Singapura dipenjara enam bulan dan didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar dan menyebar ajaran salah berkaitan ajaran Kumpulan Cahaya.
Antara ajarannya adalah membenarkan berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram sejak September 2023.
Tertuduh, Idris Ami, 60, yang merupakan pengasas Kumpulan Cahaya dan bekerja sebagai pemandu forklif membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak dan sekiranya gagal membayar denda, boleh dipenjara selama dua bulan bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan baharu, tertuduh didapati menyebarkan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak kepada sekumpulan orang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya dengan membenarkan berpelukan walaupun berbeza jantina dan bukan mahram.
Ini atas dasar kepercayaan bahawa tidak berlaku kesalahan dari sudut syarak kerana perbuatan itu berlandaskan kecintaan hati, bukan keinginan jasad dan nafsu.
Terdahulu, Idris menukar pengakuan bersalah bagi dua lagi pertuduhan yang telah dibacakan pada 4 Oktober lalu ketika pertama kali didakwa.
Bagi pertuduhan itu, Idris didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dengan mendakwa dirinya utusan iaitu rasul bagi zaman ini serta mendakwa di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu iaitu Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad.
Kesalahan dilakukan sejak September hingga Disember 2023 di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Idris yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia telah insaf dan merayu tidak dikenakan hukuman penjara. – UTUSAN