RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki Myanmar selepas cuba menyeludup 150 liter minyak diesel ke Thailad dalam serbuan di pangkalan haram Yasin, Lubok Gong di sini semalam.
Lelaki berusia 58 tahun itu ditahan bersama kereta jenis Honda Accord pada pukul 12.30 tengah hari menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 150 liter minyak diesel di dalam boot kereta tersebut.
“Rampasan diesel itu dianggarkan berjumlah RM442.50. Suspek bersama kereta dan bahan bakar itu telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN