PETALING JAYA: Seorang lelaki menyamar sebagai seorang pelanggan sebelum mencuri jam tangan Rolex di sebuah kedai menjual barangan berharga di kawasan SS 16, Subang Jaya dekat sini semalam.
Kehilangan jam tangan berkenaan menyebabkan kedai berkenaan kerugian RM64,000.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, satu laporan dibuat pekerja wanita pada pukul 10.40 pagi.
Kata beliau, wanita berkenaan memaklumkan semasa dia bersama rakannya membuka kedai itu didatangi seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan.
Menurut beliau, suspek bertindak mencuri jam tangan terbabit ketika pekerja itu bercakap di telefon sebelum terus melarikan diri.
“Hasil siasatan dapati suspek menunggu di depan premis sebelum kedai beroperasi.
“Suspek memberitahu dia ada membuat temu janji melalui mesej selain bertanyakan beberapa soalan mengenai barangan yang dijual,” katanya di sini.
Beliau berkata, tidak lama kemudian, suspek bergegas keluar dari kedai dan maklum mahu mengambil majikannya di tingkat bawah.
“Jam tangan yang dicuri iaitu Rolex Datejust 36 Oystersteel and Yellow Gold Reference 126233 serial number 63t917k7,” jelasnya.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (akta 574) iaitu kesalahan mencuri di dalam bangunan.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat.
“Kerjasama turut boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di nombor 03-78627222,” katanya.