Lelaki mengamuk, tendang dinding kaunter tol ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki mengamuk, tendang dinding kaunter tol ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mengamuk dan menghambur kata-kata kesat serta menendang dinding kaunter tol di plaza tol berhampiran Jalan Batu 9, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya terkesan satu video tular di Facebook pada 11.13 pagi semalam memaparkan kejadian pertengkaran pengguna jalan raya di plaza tol terbabit.

Katanya, video itu menunjukkan seorang lelaki keluar dari kenderaan dan terus ke kaunter tol sambil memarahi serta menendang dinding kaunter tol sebelum beredar.

“Berikutan kejadian ini, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan siasatan dan mendapatkan keterangan seorang wanita berusia 22 tahun yang bekerja sebagai jurutol.

“Mangsa menyatakan punca kejadian adalah kerana suspek berusia 21 tahun ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch n Go dengan kuat semasa menggunakannya sebelum itu.

“Suspek kemudiannya terus mengamuk memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, susulan itu, polis menahan suspek bersama sebuah kereta Perodua Alza warna hitam di kawasan taman perumahan di Hulu Langat pada 7 malam, semalam.

“Hasil pemeriksaan ujian awal air kencing suspek yang berkerja sebagai mekanik positif dadah jenis methamphetamine, selain turut mempunyai 17 rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Beliau berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh berhubung terus dengan Balai Polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya