PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang lelaki ditemukan maut selepas terjatuh dari kondominium Pelangi Utama di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.39 petang itu, satu panggilan berhubung kejadian diterima polis daripada seorang lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, siasatan awal di sekitar lokasi dan pemeriksaan badan mangsa tidak menemukan sebarang unsur berkaitan jenayah.
“Malah semakan dari rumah ke rumah juga mendapati tiada individu mengenali mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, tindakan lanjut masih dijalankan pihak forensik dari Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Selangor bagi mendapatkan maklumat mangsa yang belum dikenal pasti.
Ini kerana pemeriksaan polis tidak menemukan sebarang butiran pengenalan diri pada badan mangsa dan juga di sekitar lokasi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222. – UTUSAN