Lelaki didakwa jadi tentera upahan sudah lama tidak hubungi keluarga

Lelaki didakwa jadi tentera upahan sudah lama tidak hubungi keluarga

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang kad pengenalan dan lesen memandunya ditemukan di Ukraine seperti tular dalammedia sosial dipercayai sudah lama tidak berhubung dengan ahli keluarganya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semakan dibuat pihak polis kepada ahli keluarganya mendapati status keberadaan lelaki itu tidak dapat dipastikan.

“Mereka memaklumkan sudah lama tidak berhubung dengan lelaki terbabit walaupun dia belajar di luar negara.

“Bagaimanapun, mereka juga tidak mengetahui status berkaitan lelaki tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Justeru, Razarudin berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan keberadaan lelaki tersebut buat masa kini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pihak Kedutaan Rusia berhubung dakwaan seorang warga tempatan terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut menunggu pengesahan dakwaan tersebut memandangkan ia ditularkan di negara berkenaan.

“Isu itu ditularkan dalam media sosial di negara terbabit sebelum tular di sini.

“Kita sedang menunggu daripada kerajaan Rusia mengenai status lelaki tersebut termasuk kemungkinan dokumen peribadinya di salah guna atau sebagainya,” katanya.

Media semalam melaporkan polis giat mendapatkan maklumat daripada Kedutaan Rusia berhubung dakwaan seorang warga tempatan terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.

Razarudin dilapor berkata, PDRM melalui Cawangan Khas telah berhubung dengan Kedutaan Rusia di sini (Malaysia).

Beliau berkata, pihaknya juga telah berhubung dengan pihak keluarga individu berkenaan dimaklumkan lelaki itu hanya belajar di sana (luar negara).

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi selain diingatkan untuk tidak terlibat dengan mana-mana ‘kegiatan pejuang asing’,” katanya.

Kelmarin tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.

Gambar tular itu menunjukkan lelaki berkenaan kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam ‘16th Rifle Batallion Ukraine’ yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.

Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis yang sah sehingga Februari 2025.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi belum menerima sebarang laporan lengkap mengenai dakwaan dipercayai terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) warga Malaysia yang menjadi tentera upahan di Ukraine.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya masih dalam proses mendapatkan maklumat mengenai dakwaan itu.

“Kita akan semak dulu. Terlalu awal bagi saya untuk mengulas kerana saya perlu menyemak fakta terlebih dahulu.

“Saya akan dapatkan maklumat dahulu. Saya akan komen nanti sebab saya belum mendapat maklumat lengkap,” katanya di pekarangan Masjid Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) selepas solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya