TUMPAT: Hasrat seorang lelaki untuk menikmati upah mengangkut beras seludup tidak kesampaian selepas dicekup anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Kubor kelmarin.
Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang selepas anggota PGA mengesan sebuah kereta jenis Proton Satria dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan menjumpai 275 kilogram (kg) beras dipercayai diseludup dari Thailand.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi tujuan menyeludup beras tersebut ke pasaran tempatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut gagal mengemukan dokumen sah berkait beras berkenaan,” katanya semalam.
Jelas Nik Ros Azhan, suspek dan barang rampasan dibawa ke kompeni taktikal (Komtak) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
Anggaran nilai rampasan beras dan kereta dianggarkan berjumlah RM10,100.