Lebuhraya Seremban-Port Dickson jadi lokasi lumba haram - Utusan Malaysia

Lebuhraya Seremban-Port Dickson jadi lokasi lumba haram

MASLAN Udin pada sidang akhbar di IPD Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang biasa dilihat di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) dikesan sering dilakukan ‘orang luar’ yang datang bercuti di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, boleh dikatakan setiap minggu akan ada samseng jalanan yang ditahan terdiri daripada remaja berusia 17 hingga 21 tahun yang datang daripada pelbagai tempat termasuk dari Pantai Timur.

“Kes-kes lumba haram dan menunjukkan pelbagai aksi berbahaya ini kita kategorikan sebagai samseng jalanan sama ada melibatkan motosikal atau motokar.

“Kebanyakan mereka ini adalah pengunjung luar Port Dickson dan datang ke sini sekadar mahu berjalan tetapi mengambil kesempatan menunjukkan aksi dan kehebatan masing-masing ketika di lebuh raya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini.

Maslan berkata, faktor keadaan jalan SPDH yang lurus dan tiada halangan menjadikan tarikan kepada golongan samseng jalanan ini beraksi terutama di sepanjang kilometer 17 hingga kilometer 25 lebuh raya tersebut.

“Lokasi ini jadi tumpuan disebabkan keadaan jalannya yang lurus berbanding kilometer lain yang agak berselekoh, jadi bagi mengurangkan aktiviti lumba haram pihak polis menjalankan operasi bersepadu dan penugasan anggota di kawasan ini.

“Setiap minggu akan ada tangkapan kes samseng jalanan antara seorang hingga empat orang yang ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Bagaimanapun, Maslan menolak tanggapan sesetengah pihak yang lebuh raya terbabit telah dijadikan sebagai litar lumba, sebaliknya apa yang berlaku adalah tanpa dirancang.

“Tapi mereka ini bukannya dari awal sudah merancang untuk berlumba, tetapi sekadar mahu menunjukkan aksi dan biasanya dikesan memulakan pergerakan (berlumba) antara pukul 11 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau, sebanyak 48 tangkapan kes samseng jalanan telah direkodkan sejak Januari hingga Oktober lalu iaitu meningkat 10 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya