KUALA LUMPUR: Lebih dua juta warga asing kini memenuhi sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua 2,438,468 pekerja asing itu berdaftar di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat 31 Oktober lalu.
Kata beliau, pekerja asing tersebut merupakan mereka yang bekerja di tujuh sektor utama iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah serta perlombongan dan pengkuarian.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JIM komited dalam memastikan keselamatan negara diutamakan dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
“Sehingga 13 November lalu, sebanyak 17,745 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh JIM di seluruh negara melibatkan tangkapan seramai 41,073 orang PATI dan 1,589 orang majikan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Dr. Ismail Muttalib (PN-Maran) yang memintanya untuk menyatakan berapa ramai ramai bilangan terkini pekerja asing dan PATI di negara ini.
Ismail turut meminta Saifuddin untuk menyatakan apakah langkah diambil untuk menangani lambakan warga asing yang masuk secara haram.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, JIM menetapkan beberapa prosedur kawalan untuk memastikan semua pelawat asing yang memasuki Malaysia adalah pelawat tulen dan menepati syarat.
“Antaranya adalah hanya pelawat bebas dari senarai syak dan senarai hitam dibenarkan untuk masuk serta pelawa-pelawat asing ke negara ini diwajibkan mempunyai tiket pulang ke negara asal mereka.
“Selain itu, mewajibkan setiap pelawat mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) bagi memantau keberadaan pelawat semasa berada di Malaysia,” jelasnya.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, JIM melaksanakan tindakan dan mengesan pelawat-pelawat asing yang tinggal lebih dari masa melalui operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, 1 Jun hingga 30 Oktober lalu sejumlah 17,745 operasi dilaksanakan JIM di seluruh negara.
Selain itu, katanya, tindakan terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing tidak sah juga dilakukan dan membu naziran dan khidmat nasihat kepada syarikat-syarikat yang menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah.
“Jumlah pelawat asing yang ditangkap dan ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen di Malaysia bagi tahun 2023 adalah seramai 27,739 dan mulai 1 Januari hingga 14 November lalu seramai 41,234 telah ditangkap dan ditempatkan di depoh tahanan imigresen,” katanya.
Tambahnya, JIM turut melaksanakan sebanyak 2,762 Operasi Bersepadu dengan lain-lain agensi penguatkuasaan di seluruh negara dengan tangkapan seramai 8,812 orang PATI dan 52 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen sepanjang tahun 2023 hingga 13 November lalu.
“Tindakan penguatkuasaan imigresen ini adalah berlandaskan aduan awam serta maklumat-maklumat lain yang diterima oleh JIM melalui panggilan telefon, kehadiran ke pejabat imigresen, e-mel dan juga surat-menyurat.
“Kesimpulannya, keberadaan warga asing di negara ini tidak menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja sebaliknya melibatkan peranan pelbagai agensi dan pihak, termasuklah rakyat negara ini,” ujarnya.