Lebih 1,000 sertai Subuh Macam Raya

Lebih 1,000 sertai Subuh Macam Raya

PROGRAM Subuh Macam Raya dan 5 Kilometer Rentas Kota With 1001 Neighbourhood dimulakan dengan solat subuh berjemaah di Masjid Imam Ash-Shafie, Kotasas, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lebih 1,000 penduduk dari 16 taman perumahan di Kotasas di sini memeriahkan dua program serentak, iaitu Su­buh Macam Raya dan 5 Kilometer Rentas Kota With 1001 Neighbourhood.

Program anjuran Masjid Imam Ash-Shafie dengan kerjasama Kelab Badminton Kotasas (KSBC) itu bermula dengan solat subuh melibatkan penduduk setempat termasuk ahli keluarga mereka dan bersambung dengan larian sejauh lima kilometer (km) yang juga disertai kanak-kanak.

Program menjadi bertambah menarik serta meriah apabila lebih 125 hadiah cabutan bertuah berupa motosikal elektrik, sofa, televisyen, skuter elektrik, kasut sukan, peralatan perkhemahan dan beberapa peralatan elektrik lain.

Pengerusi Masjid Imam Ash-Shafie, Izudin Muhamad Amin ketika ditemui memberitahu, selain bertujuan mengimarahkan masjid terutama pada solat subuh, program itu juga bagi mengeratkan lagi silaturahim.

Jelasnya, kejayaan program membuktikan wujud kerjasama dalam kalangan penduduk dari 16 taman perumahan di Kotasas.

“Sebenarnya kami terpaksa mengehadkan penyertaan kira-kira 1,000 orang walaupun hingga saat akhir ada lagi penduduk dari pelbagai kaum hendak menyertainya.

“Namun, mereka yang tidak menyertai larian kerana pendaftaran telah tutup masih turut menyertai program ini kerana terdapat kios-kios disediakan antaranya pemeriksaan mata. jualan makanan dan minuman.

“Harapan kami agar melalui program ini, Masjid Imam Ash-Shafie dapat terus diimarahkan lagi terutama dalam program-program tazkirah dan sebagai­nya,” katanya.

Hadir sama Pengerusi KSBC, Mohamad Sapari Shamsul Bahrin.

Terdahulu solat berjemaah dipimpin oleh imam, Shafiq Mohamed.

Pada program tersebut, ha­diah-hadiah cabutan bertuah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari.

Sementara itu, Pengarah Bersama program, Mohd. Izhar Izaidin Yahya berkata, perancangan program tersebut telah diatur sejak dua bulan lalu melibatkan wakil-wakil penduduk.

“Kami mendapat kerjasama semua pihak termasuk pengurusan Kotasas sendiri.

“Daripada program ini diharap apa jua perancangan untuk penduduk pada masa hadapan dapat dijadikan realiti,” katanya.

Seorang lagi Pengarah Bersama program, Jalaluddin Puteh pula menjelaskan, menjadi harapan pihaknya agar setiap aktiviti penduduk termasuk acara sukan dapat dilakukan menerusi Masjid Imam Ash-Shafie.

“Pihak pengurusan masjid akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada program-program penduduk di Kotasas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN