Lebih 1,000 peruncit dilantik simpan stok bekalan keperluan sepanjang MTL - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 peruncit dilantik simpan stok bekalan keperluan sepanjang MTL

AMIZAN Mohd. Ali (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Jualan Rahmah Madani di tapak pekan sehari Dong di Raub, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melantik 1,369 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 635 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Amizan Mohd. Ali berkata, ia langkah proaktif sebagai persediaan menghadapi bencana banjir tahun ini yang dijangka bermula bulan ini sehingga Mac 2025.

Menurutnya, pemilik premis DDR dan DDW akan berada di setiap daerah sebagai pemegang stok mini terpilih untuk membekalkan barang keperluan asas serta mengenal pasti barangan yang diperlukan mangsa bencana bagi mengelakkan mereka tidak terputus mendapat bekalan.

“KPDN mengambil perhatian serius berhubung kenyataan MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) berkenaan jangkaan terdapat taburan hujan panjang di Malaysia bermula November hingga Mac depan dan dalam tempoh itu dijangka lima hingga tujuh episod hujan lebat akan berlaku dan beberapa episod bencana akan melanda kebanyakan negeri sepanjang MTL.

“Antara dilakukan KPDN adalah persediaan DDR dan DDW. Kita pernah lakukan sebelum ini, cumanya untuk kali ini, KPDN mengambil langkah proaktif untuk melantik mereka lebih awal, pada September supaya dapat melakukan persiapan awal. Ini berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Peruncit dan pemborong terpilih ini berperanan untuk kita ‘engage’ (libatkan) bagi memastikan mereka mempunyai bekalan yang mencukupi dan sekiranya ada keperluan menghantar bekalan ke kawasan yang terkesan dengan banjir,” katanya kepada pemberita sempena Program turun padang ke Jualan Rahmah Madani Negeri Pahang di Tapak Pekan Sehari Dong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amizan berkata, kementerian juga membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada DDR dan DDW terpilih di kawasan yang berisiko banjir.

“DDR dan DDW ini juga kita berikan kelulusan sementara untuk menyimpan barang kawalan dan barang keperluan asas 30 peratus lebih daripada biasa. Ini sebagai langkah berjaga-jaga dan persiapan supaya jika berlaku gangguan bekalan, mereka boleh terus hantar tanpa perlu menunggu bekalan daripada luar untuk sampai khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sama ada menarik atau menggantung lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) jika terdapat aduan menyorok bekalan.

“Saya juga ingin mengingatkan bukan sahaja kepada DDR dan DDW tetapi semua premis perniagaan sama ada peruncit, pemborong atau pengilang jangan sesekali bertindak menyorok barang dalam keadaan yang memerlukan ini. Jika kita dapati pihak-pihak yang berkenaan ada aduan, kita akan siasat dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN